
12,000 Solat Subuh Di JB – Solat Berjemaah Dua Pusingan
Misi untuk memenuhkan jemaah masjid solat fardu Subuh sama seperti solat Jumaat semakin mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Terbaru, Program Semarak Subuh yang diadakan di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini mendapat sambutan luar biasa apabila masjid itu dibanjiri lebih 12,000 jemaah.

Kehadiran jemaah yang sangat ramai itu menyebabkan solat Subuh secara berjemaah didirikan dua kali.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terharu dengan kehadiran jemaah yang amat menggalakkan bagi menyokong program cetusan ideanya sejak awal tahun ini.
“Semenjak Masjid Sultan Iskandar didirikan, hari ini merupakan hari pertama solat Subuh berjemaah terpaksa didirikan dua kali kerana terlalu ramai yang hadir.

“Syukur Alhamdulillah, lebih 12,000 jemaah hadir mengimarahkan Program #SemarakSubuhJohor #SolatSubuhMacamJumaat bertempat di Masjid Sultan Iskandar.
“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur, pihak penyumbang dan rakan-rakan pempengaruh lain serta pihak pengurusan masjid yang menjayakan program hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Penyanyi dan pelakon Alif Satar sebelum ini turut menjalankan kempen yang sama dan mendapat sambutan serta pujian ramai. – THE VOKAL