Dakwaan Ritual Pemujaan Dalam konsert The Weeknd: Ustaz Wadi Annuar Titip Doa Mohon Dijauhkan Azab
Isu ‘patung gergasi’ atau bersaiz besar yang menjadi sebahagian daripada konsep persembahan penyanyi antarabangsa, The Weeknd, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini terus mencetuskan pelbagai pendapat dalam kalangan netizen.
Dalam perkembangan berkaitan, pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar menerusi hantaran di Facebook menitipkan doa agar umat Islam diampunkan Allah SWT dan tidak ditimpa azab akibat kelalaian serta kekurangan diri.
“Ya Allah, ampunilah kami, janganlah azab kami atas kelalaian dan kekurangan kami ya Rabb,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi kenyataan daripada Facebook Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia yang menyentuh mengenai perbuatan maksiat dan perkara yang dikaitkan dengan sebab turunnya bala serta kemurkaan Allah SWT.
Kenyataan yang ditulis oleh Alfaqir IlalLah Abu Mu’az itu turut mengimbau pesanan Allahyarham Abuya Fadhilatus Shaykh Ahmad Fahmi Zamzam ketika pembacaan kitab 40 Hadith Alhir Zaman puluhan tahun lalu.
Perkongsian itu mengetengahkan dua hadis yang dinukilkan daripada riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ibnu Majah sebagai peringatan mengenai perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan serta penggunaan alat muzik dan hiburan.
Antara petikan hadis yang dikongsikan menyentuh mengenai perbuatan keji yang dilakukan secara terbuka sehingga dikaitkan dengan tersebarnya penyakit dan musibah dalam sesebuah masyarakat.
Penulis kenyataan itu turut mengingatkan bahawa nasihat dan teguran terhadap kemungkaran tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan mencampuri urusan orang lain, sebaliknya merupakan tanggungjawab dalam menyampaikan peringatan agama.
“Ya Rabb, telah kami sampaikan apa yang telah diperintahkan oleh-Mu buat ummat ini, ampunkan kami dan janganlah diazab kami kerana kelalaian dan kekurangan kami Ya Rabb,” tulisnya.
Foto: Facebook Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia