Kembara Wahyu teroka khazanah Islam di Oman, Ramadan 2027
SELEPAS membawa penonton menelusuri kisah Nabi Musa AS di bumi Mesir, siri dokumentari Kembara Wahyu bakal meneruskan ekspedisi ilmu ke Oman menerusi penerbitan 13 episod baharu yang dijadualkan disiarkan pada Ramadan 2027.
Projek terbaharu itu merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara TV AlHijrah dan Rare TV dalam menghasilkan kandungan dokumentari berteraskan sejarah, pengembaraan, budaya serta pendidikan Islam.
Pemilihan Oman sebagai destinasi seterusnya membuka ruang kepada penonton untuk mengenali dengan lebih dekat khazanah dunia Islam, termasuk sejarah, warisan budaya, keindahan alam dan nilai spiritual yang terdapat di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Hajah Nadzariah Mohamed berkata, penerbitan dokumentari seumpama itu bukan sekadar menawarkan pengalaman pengembaraan, sebaliknya menjadi medium menyampaikan ilmu serta memperluas perspektif masyarakat terhadap sejarah dan ketamadunan Islam.
“Tidak semua orang mempunyai kesempatan untuk menjejakkan kaki ke destinasi yang diterokai oleh pasukan ekspedisi.
“Justeru, menerusi Kembara Wahyu, kami mahu memberikan peluang kepada penonton untuk seolah-olah turut berada di lokasi berkenaan, menyaksikan sendiri keindahan alam, mengenali sejarah dan memperoleh pengalaman ilmu yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung dalam rancangan Assalamualaikum TV AlHijrah sempena pelancaran siri terbaharu Kembara Wahyu Oman.
Pelancaran itu turut menyaksikan sesi menandatangani perjanjian dan penyampaian penghargaan sebagai simbol pengukuhan hubungan strategik antara TV AlHijrah dan Rare TV yang diketuai Haji Saiful Nang.
Menurut Nadzariah, dokumentari berkonsepkan travelog sejarah Islam mempunyai potensi besar dalam industri penyiaran tempatan kerana mampu menyampaikan ilmu secara lebih santai, menarik dan mudah difahami.
Malah, beliau menyifatkan penghasilan dokumentari berkualiti sebagai salah satu pendekatan untuk menjadikan pengembaraan bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi turut membawa penonton mendekati ilmu dan penghayatan agama.
Kerjasama kedua-dua pihak sebelum ini turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya meraih 13.4 juta tontonan bagi tempoh September 2025 hingga 28 Oktober 2026 berdasarkan laporan data Consumer Insight TV AlHijrah.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 113 episod dokumentari telah dibekalkan Rare TV kepada TV AlHijrah menerusi pelbagai siri termasuk Kembara Wahyu Sirah Nabi, Kembara Wahyu Jordan, Travelog Iceland, Travelog Kyrgyzstan, Travelog Western Australia, Travelog Eropah dan Port Healing Kebangsaan.
Nadzariah berkata, pencapaian berkenaan mengukuhkan keyakinan TV AlHijrah untuk meneruskan kolaborasi bersama Rare TV, selain memperluas penyampaian dakwah melalui gabungan medium televisyen dan digital.
Katanya, perkembangan teknologi serta perubahan corak penggunaan media membuka peluang lebih besar untuk kandungan berilmu disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya generasi muda.
Siri Kembara Wahyu Oman bakal menemui penonton TV AlHijrah sempena Ramadan 2027, manakala maklumat lanjut mengenai dokumentari itu akan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi kedua-dua pihak. – THE VOKAL