SENIMAN, SPRM dan FINAS anjur HARA 2026, bina industri kreatif bebas rasuah
USAHA membina industri kreatif yang profesional dan berintegriti memerlukan komitmen semua pihak, termasuk penggiat seni yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.
Sehubungan itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berganding bahu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026: Industri Kreatif pada 29 November ini.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan mendekatkan mesej antirasuah kepada warga industri kreatif menerusi pendekatan lebih santai dan mesra.
Menurutnya, kesedaran mengenai integriti perlu dipupuk dalam kalangan penggiat seni kerana ia membabitkan pelbagai aspek kerjaya, termasuk urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.
Katanya, amalan tidak berintegriti bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi individu, malah memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem industri seni.
“Setiap ahli perlu mengamalkan integriti dalam urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.
“Kita perlu berani menolak rasuah dan tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang salah,” katanya.

Tambahnya, penggiat seni juga mempunyai tanggungjawab menggunakan pengaruh masing-masing untuk menyebarkan nilai positif dan membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap bahaya rasuah.
Jelas Zed, pendedahan menerusi program berkenaan turut penting bagi memastikan warga seni memahami hak serta tanggungjawab mereka, sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa eksploitasi dan penyalahgunaan kuasa.
“Kita mahu membina industri seni yang lebih profesional, telus dan dipercayai.
“Paling penting, generasi penggiat seni akan datang dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya.
Bagi menarik penyertaan lebih ramai, program sehari itu turut menyediakan pelbagai pengisian termasuk taklimat khas SPRM, bengkel TikTok percuma serta pertandingan video pendek Public Service Announcement (PSA) yang menawarkan hadiah menarik.
Turut diadakan ialah pameran daripada persatuan dan rakan industri selain persembahan artis.
Program yang menyasarkan penyertaan pemain industri kreatif, warga FINAS dan pelajar itu akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang, Selangor.
Penganjuran HARA 2026 diharap menjadi antara usaha memperkukuh budaya kerja yang telus dalam industri kreatif, sekali gus memastikan kejayaan dunia seni tidak hanya diukur menerusi pencapaian karya, tetapi juga nilai integriti yang diamalkan. – THE VOKAL