Ujian MySiren 29 November, Fahmi minta orang ramai tidak panik terima amaran
ORANG ramai diminta tidak panik sekiranya menerima notifikasi amaran berlabel ujian pada Ahad ini, 29 November, sempena pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ujian berkenaan dijadual berlangsung antara jam 10.10 hingga 10.30 pagi.
Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, MySiren yang dilancarkan pada Isnin, merupakan sistem amaran awal bagi menyalurkan maklumat berkaitan bencana secara terus ke telefon bimbit penduduk di kawasan berisiko.
Antara bencana yang boleh disampaikan menerusi sistem itu termasuk banjir, cuaca buruk dan tsunami.
Menariknya, orang ramai tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi atau membuat pendaftaran untuk menggunakan kemudahan berkenaan.
“Tidak perlu muat turun aplikasi atau membuat pendaftaran. Perkhidmatan ini juga percuma,” katanya.
Fahmi turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil beberapa langkah awal bagi memastikan telefon bimbit masing-masing bersedia menerima amaran kecemasan.
“Pastikan telefon dikemas kini dan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan sistem berkenaan dapat membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Insya-Allah, amaran lebih awal beri kita masa untuk bertindak,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai MySiren menerusi laman web rasmi MCMC di https://www.mcmc.gov.my/ms/mysiren/introduction. – THE VOKAL