PMX titip doa buat Sasterawan Negara A. Samad Said
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menitipkan doa agar Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said segera pulih daripada masalah kesihatan yang dihadapinya.
Anwar berkata, beliau menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan tokoh sastera yang lebih dikenali sebagai Pak Samad itu, yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar bersama Azizah dan keluarga mendoakan agar Allah SWT memberikan keafiatan serta mengangkat segala kesakitan yang dialami sasterawan berkenaan.
“Saya, Azizah dan keluarga mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keafiatan, mengangkat segala kesakitan dan memberikan kesembuhan segera buat Pak Samad,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan Pak Samad sebagai seorang budayawan yang banyak berjasa kepada dunia kesusasteraan tanah air.
Anwar turut mendoakan agar keluarga besar Pak Samad terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Semoga seluruh keluarga besar terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian ini, Insya-Allah,” katanya. – THE VOKAL