MALAYSIA bakal menjadi tumpuan peminat muzik rock antarabangsa apabila kumpulan nu-metal popular dari Amerika Syarikat (AS), Limp Bizkit, memilih Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi jelajah Asia mereka sepanjang 2026.
Lebih bermakna, konsert Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show yang berlangsung pada 9 Disember depan turut menandakan penampilan sulung kumpulan itu di negara ini.
Konsert anjuran Hitman Live dan Hitman Solutions itu bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, bermula pukul 8 malam.
Pemilihan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya lokasi persembahan di Asia pastinya menjadi berita menggembirakan buat peminat yang sekian lama menantikan peluang menyaksikan kumpulan berkenaan secara langsung.
Limp Bizkit yang cukup dikenali menerusi gabungan muzik nu-metal dan rap rock mempunyai deretan lagu popular termasuk Rollin’, My Way, Break Stuff serta Nookie.
Lagu-lagu berkenaan bukan sahaja mengukuhkan nama mereka dalam persada muzik antarabangsa, malah terus mendapat tempat dalam kalangan peminat rock merentas generasi.
Dengan reputasi persembahan langsung yang bertenaga, kehadiran Limp Bizkit dijangka menjadikan malam berkenaan sebagai antara acara muzik yang dinantikan menjelang penghujung tahun ini.
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi platform Ticket2U dan Megatix selain laman rasmi penganjur, Hitman Live. – THE VOKAL