JAKIM perkukuh integriti, profesionalisme pensijilan halal Malaysia
PENYELARASAN isu teknikal dan pemantapan tadbir urus menjadi antara tumpuan Muzakarah Panel Pengesahan Halal Malaysia 2026 yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), baru-baru ini.
Muzakarah anjuran Bahagian Pengurusan Halal JAKIM itu diadakan di Dewan Saksama, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pelaksanaan pensijilan halal negara.
Menurut JAKIM menerusi perkongsian di Facebook, penganjuran muzakarah itu merupakan usaha mewujudkan platform perbincangan dan penyelarasan, khususnya dalam menentukan hala tuju pensijilan halal.
Perbincangan turut memberi perhatian kepada penyelarasan pertimbangan panel terhadap isu-isu teknikal serta perkembangan semasa industri halal.
JAKIM berkata, muzakarah berkenaan mencerminkan komitmen jabatan itu dalam memperkukuh profesionalisme, integriti dan tadbir urus pensijilan halal Malaysia.
“Ini sekali gus memastikan sistem pensijilan halal negara kekal diyakini, berwibawa dan responsif terhadap perubahan serta cabaran industri halal semasa,” menurut kenyataan itu.
Pendekatan berkenaan dilihat penting bagi memastikan sistem Pensijilan Halal Malaysia terus diperkasakan dan kekal selari dengan keperluan semasa industri. – THE VOKAL