Sekali lafaz, Shiqin Kamal kini isteri Mika Irfan
PELAKON Shiqin Kamal, 35, sah bergelar isteri kepada jurulatih sukan memanah dan berkuda, Mika Irfan Nojey, 28, selepas pasangan itu disatukan dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah di GlamHall Damansara, Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, 12 tengah hari tadi.
Lebih istimewa, Mika menyerahkan mas kahwin berupa dua dinar emas kepada Shiqin sebagai tanda permulaan kehidupan baharu mereka sebagai suami isteri.
Majlis akad nikah disempurnakan jurunikah merangkap Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abd. Salam Mahmud, berwalikan abang pengantin perempuan, Firoz Deen Kamal bertindak sebagai wali.
Shiqin atau nama sebenarnya Nur Ashiqin Mohd Kamal merupakan Adik kepada Firoz Deen dan Anita Bee yang turut berkongsi kegembiraan pada hari bersejarah pasangan berkenaan.
Menariknya, lima dulang hantaran dibawa pihak pengantin lelaki dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan termasuk busur dan anak panah serta beberapa barangan lain.
Shiqin yang pernah membintangi filem Lagenda Budak Setan sebelum ini turut mencipta nama menerusi penglibatannya dalam industri lakonan tempatan.
Tahniah buat Shiqin dan Mika Irfan. Semoga ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke syurga serta sentiasa dilimpahi kebahagiaan dan keberkatan. – THE VOKAL