Isu Dara, Amoi dan Kelat: Neow gesa KPKT dedah MOU
KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mendedahkan Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan pemindahan tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun, di Parlimen bagi memastikan persoalan berhubung urusan itu dapat dijawab secara terbuka.
Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang mempersoalkan tindakan pihak kementerian apabila isu berkenaan dibangkitkan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pihak kementerian didakwa tidak memberikan penjelasan terperinci secara lisan, sebaliknya hanya mengemukakan jawapan bertulis berhubung perkara yang dibangkitkan.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana Parlimen merupakan platform penting untuk wakil rakyat mendapatkan penjelasan kerajaan mengenai isu yang menjadi perhatian masyarakat.
“Saya menggesa supaya MOU itu didedahkan di peringkat Parlimen pun apabila isu ini dibangkitkan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Ayer Hitam.
“Pihak kementerian juga tidak menjelaskan dengan terperinci, hanya menjawab melalui jawapan bertulis dan bukannya secara lisan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pihak bertanggungjawab dilihat tidak bersedia memberikan penjelasan secara terbuka dalam persidangan Parlimen, sedangkan wakil rakyat mempunyai hak untuk membangkitkan persoalan dan mendapatkan jawapan bagi pihak rakyat.
“Maknanya ada pihak yang bukan sahaja nak melindungi perkara ini, malah tidak ada keberanian pun untuk berbahas mengenai isu ini di dalam Parlimen.
“Kerana Parlimen ada imuniti. Ahli-ahli Parlimen ini berhak mendapatkan jawapan daripada setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat,” katanya.
Neow berkata, kegagalan memberikan jawapan tuntas di Parlimen menimbulkan persoalan lebih besar mengenai tahap ketelusan KPKT dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam mengendalikan isu pemindahan tiga gajah berkenaan.
Beliau mempersoalkan apa lagi yang boleh diharapkan daripada pihak kementerian dan MPT sekiranya persoalan yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat sendiri tidak dapat dijawab secara menyeluruh.
“Kalau dalam Parlimen pun tidak boleh diselesaikan, dalam Parlimen pun tidak boleh dijawab dengan tuntas, apa lagi yang kita boleh harapkan daripada KPKT, MPT,” katanya.
Isu ketelusan itu turut berkait dengan keputusan mengklasifikasikan MOU pemindahan DAK di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), yang sebelum ini dipersoalkan kerana dokumen berkenaan pada asalnya dikatakan hanya melibatkan perjanjian antara zoo.
Kontroversi pemindahan Dara, Amoi dan Kelat ke Jepun turut mencetuskan kebimbangan mengenai kebajikan serta keadaan kesihatan ketiga-tiga haiwan berkenaan.
Susulan itu, perhimpunan aman di Zoo Taiping & Night Safari diadakan baru-baru ini bagi mendesak supaya ketiga-tiga gajah Malaysia tersebut segera diselamatkan dan dibawa pulang dari Zoo Tennoji, Osaka.
Himpunan berkenaan turut disusuli penyerahan memorandum kepada wakil Zoo Taiping sebagai usaha mendesak pihak berkaitan memberikan penjelasan dan mengambil tindakan terhadap nasib DAK. – THE VOKAL