Anwar, Mark Carney bincang perluas kerjasama perdagangan Malaysia-Kanada
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kanada, Mark Carney hari ini, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Anwar berkata, pertemuan itu berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan turut menyentuh perkembangan serantau serta antarabangsa.
Menurutnya, antara bidang kerjasama yang diberi perhatian termasuk sektor tenaga, ekonomi digital dan teknologi.
Beliau turut berkongsi perkembangan ekonomi Malaysia selain meneroka potensi kerjasama baharu menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Kanada.
“Malaysia dan Kanada akan terus memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang terjalin demi manfaat dan kemakmuran kedua-dua negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selamat tiba di Manila, Filipina malam tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.
Anwar berkata, penyertaan Malaysia dalam persidangan yang berlangsung bermula hari ini hingga 17 November itu merupakan platform penting untuk memperkukuh hubungan serantau serta mengangkat kepentingan bersama negara-negara ASEAN. – THE VOKAL