
“Bukan Menipu, Alah Saya Pun Di Bottom Three Je!” – Azharina
Peserta All Stars Gegar Vaganza Azharina Azhar berkata bukan niatnya menipu konon tidak pernah menyanyikan lagu La Bamba seperti yang didakwa netizen dalam hantaran yang tular.
Jawapannya kepada juri Datuk Ramli MS dibuat berdasarkan dirinya yang memang tidak pernah membawakan lagu berkenaan di pentas persembahan rasmi.

“Saya memang tidak pernah bawa lagu itu di mana-mana show saya. Apa yang diviralkan tu ialah satu nyanyian spontan dengan kumpulan busker di depan Sogo beberapa tahun lalu ketika mula berhijab.
“Saya pun tak tahu apa niat mereka yang viralkan. Tak mengapalah, cuma memang saya tak pernah sampaikan lagu itu secara profesional atau pertandingan. Yang saya nyanyi dalam klip yang diviralkan tu memang main hentam saja,” katanya ketika dihubungi.
Azharina menambah, hal itu juga tidak sepatutnya timbul kerana dia bukannya mendapat markah tertinggi atau dalam kedudukan yang baik.

“Saya pun di bottom three, jadi tak ada isu pun. Mujur masih ada rezeki walaupun sudah dua kali hampir tersingkir,” katanya tertawa.
Mengulas lanjut, Juara GV musim ketiga berkata dia berterima kasih kepada semua peminat dan penyokong yang tidak jemu-jemu memberikan kata semangat.
Meskipun berada dalam kedudukan tidak selesa sejak mula bersaing, dia mengakui lega kerana sentiasa mendapat komen membina daripada peminat dan netizen malah rakan industri.
“Syukur dengan semua yang menghargai bakat saya. Jujurnya saya sudah lama tidak menyanyi untuk juri. Nyanyian saya lebih kepada peminat yang sentiasa menghargai seorang Azharina.
“Saya serah kepada Allah, selagi ada rezeki saya akan teruskan dan semangat saya ialah peminat dan rakan-rakan yang selalu memberikan sokongan.

“Saya mahu apa yang saya sampaikan diterima baik khalayak kerana itu membuatkan saya gembira untuk legasi kerjaya seni saya,” katanya. – THE VOKAL