
“Bukan Untuk Dapat Anak Tapi…” – Alyah Nafi Jalani Pembedahan Bariatrik Untuk IVF
Datin Alyah antara selebriti yang mengakui dirinya menjalani pembedahan bariatrik secara terbuka kepada umum.

Lantaran, ada yang mengandaikan penyanyi lagu Kisah Hati ini membuat prosedur itu sebagai usaha mendapatkan cahaya mata hasil perkahwinan dengan Datuk Ramli MS.
Beliau ketika ditemui menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya menjalani pembedahan bariatrik demi melancarkan proses hamil melalui rawatan pensenyawaan in-vitro (IVF).

“Pertama sekali saya buat bukan kerana masalah berat badan tetapi disebabkan oleh masalah kesihatan badan saya iaitu penyakit gastrik kronik.
“Saya keluar masuk hospital tapi tak pernah bagitahu orang. Saya hidap gastrik dah lama.

“Maklumlah sebagai penyanyi, kita aktif pada waktu malam. Kita bekerja dan makan. Jadi, kehidupan itu tak sihat untuk jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui di majlis perlancaran Kempen ‘Lose To Win’ baru-baru ini.
Mengenai zuriat, Alyah mengakui kini lebih matang dan percaya dengan perancangan Allah bila melibatkan soal zuriat.

“Saya tahu segala berlaku adalah dengan kehendak Allah. Dahulu, saya terlalu stres bila orang tanya tentang anak.
“Saya ada 12 adik beradik. Kakak-kakak saya semua boleh mengandung. Perkara ini terlalu peribadi untuk saya. Hanya saya tahu perasaannya. Allah adalah sebaik-baik perancang,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Alyah menyifatkan setiap perkara yang berlaku di dalam hidupnya mempunyai hikmah yang tersendiri.
“Saya ada dengar ceramah agama. Dapat anak itu rezeki. Tak dapat anak pun rezeki. Bila fikir balik, memang betul pun. Abang saya sudah meninggal, saya ada anak sedara yang perlu dijaga.
“Kalau saya ada anak, susah nak bagi perhatian kepada mereka. Perancangan Allah sangat baik. Saya dan Tok Ram seronok je begini,” katanya. – THE VOKAL