
Jemput ‘Pengkritik Baju’ – Datang Butik QC Sendiri Koleksi Bulan Bintang
Jenama Bulan Bintang bukan saja melalui momen manis dengan pelancaran gahnya, malah turut menjadi kritikan netizen pada musim raya tahun lalu ekoran isu berkait dengan jahitan baju Melayu keluaran jenama itu.
Mengambil langkah berani, pengasas baju Melayu jenama itu Azzim Zahid Azmi menjemput sembilan ‘pengkritik’ ke butik miliknya bagi memeriksa sendiri kualiti baju keluarannya pada kali ini.

‘Pengkritik’ ini daripada kalangan mereka yang meluahkan ketidakpuasan hati di laman sosial miliknya terhadap kualiti baju Melayu Bulan Bintang pada tahun lalu.
Perkara itu dikongsikannya menerusi akaun Instagram miliknya @meripergibulat
Jelas Azzim, sembilan tetamu istimewa ini diberi peluang memilih kotak secara rawak dan memeriksa sendiri kualiti baju Melayu edisi terbaharu miliknya.

“Fuh, pertama kali dalam sejarah aku buat benda ni. Tak pernah lagi aku buat perjumpaan face to face dengan customer, bekas customer, bekas customer to be dan even haters aku (kot).
“Semalam, aku jemput 9 orang tetamu istimewa datang ke Private Viewing Session untuk tengok sendiri barang Bulan Bintang 2024. Aku biarkan mereka pergi ambik kotak baju di rak, dan inspect sendiri.
“Kalau tak buat camni, risau netizen kata aku hanya promote barang-barang yang elok, yg pre selected, yang dah rancang sahaja. Hahaha.

“Alhamdulillah, aku dan team sangat-sangat gembira bila dengar sendiri feedback tentang baju melayu tahun 2024. Kami terima 99% positive feedbacks daripada yang datang semalam.
“Tetamu yang datang semalam sangat suka dengan kualiti kain baru yang kami guna, kualiti jahitan yang semakin halus dan kemas dan ada beberapa features baru yang kami introduce untuk tahun 2024 ni. Ada yang terus beli 2-3 pasang terus.
“Tak sabar rasanya nak bagi korang pegang, belek dan tengok sendiri produk Bulan Bintang yang diberi nafas baru ni. Korang semua boleh datang ke butik rasmi Bulan Bintang di seluruh Malaysia mulai Sabtu ni.

Rata-rata netizen menyifatkan tindakan pengasas Bulan Bintang ini cukup matang dan positif dalam menerima kritikan dan berusaha memperbaiki kualiti baju.
Sementara itu, Azzim menambah tujuan dia membuat sesi itu untuk memberi kebebasan kepada individu-individu tersebut untuk memeriksa sendiri kualiti produk sampai puas hati.
Dalam pada itu, usahawan muda berumur 27 tahun meluahkan rasa syukur dan lega selepas hampir 99 peratus daripada mereka memberikan maklum balas yang positif. – THE VOKAL