18 bulan berjuang bawa My Chemical Romance ke Malaysia, kejayaan Hello Universe buktikan potensi negara
DI sebalik sorakan 130,000 peminat My Chemical Romance (MCR) yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil selama dua malam, tersimpan perjalanan panjang sebuah penganjuran yang menuntut kesabaran, komitmen dan kecekalan.
Bagi Hello Universe, kejayaan konsert pada 19 dan 20 November baru-baru ini bukan sekadar menutup tirai sebuah acara muzik berskala besar, tetapi menjadi bukti bahawa segala usaha membawa kumpulan rock terkenal Amerika Syarikat itu ke Malaysia akhirnya membuahkan hasil.

Perjalanan hampir 18 bulan itu bukan mudah apabila penganjur perlu mengharungi pelbagai fasa, bermula daripada pengumuman konsert, sambutan luar biasa ketika jualan tiket sehinggalah berdepan penangguhan dan cabaran sepanjang proses penganjuran.
Namun, segala usaha tersebut akhirnya terbayar apabila kedua-dua malam persembahan berlangsung dengan sambutan luar biasa.
“Dua malam yang tidak akan dilupakan,” luah seorang peminat.


Ungkapan itu cukup menggambarkan pengalaman yang dikongsi puluhan ribu peminat apabila berpeluang menyaksikan sendiri kumpulan yang sinonim dengan muzik emo rock berkenaan beraksi di hadapan mereka.
Lebih daripada sekadar angka kehadiran, hampir 130,000 penonton sepanjang dua malam membuktikan betapa besarnya pengaruh MCR dalam kalangan peminat muzik di rantau ini.
Malah, Kuala Lumpur turut mencatatkan persembahan terbesar MCR dalam siri jelajah Asia Tenggara kali ini, satu pencapaian yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan membanggakan sebagai destinasi konsert antarabangsa.

Pencapaian itu bukan sahaja menjadi kebanggaan peminat, malah mencerminkan kemampuan penganjur tempatan membawa produksi muzik bertaraf antarabangsa ke negara ini.
Bagi Hello Universe, kejayaan tersebut pastinya membawa makna tersendiri selepas melalui perjalanan panjang yang bukan semuanya berjalan seperti dirancang.
Apa yang lebih penting, usaha itu akhirnya memberikan peluang kepada peminat untuk mencipta kenangan bersama muzik yang membesar dengan mereka.
“18 bulan penantian, dua malam yang tidak akan dilupakan dan satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan,” luah seorang netizen dalam media sosial.
Kejayaan konsert MCR ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mempunyai potensi besar sebagai pasaran muzik antarabangsa, selain menjadi destinasi yang mampu menarik kehadiran puluhan ribu peminat dari dalam dan luar negara.
Di sebalik kemeriahan yang tercipta, nama Hello Universe pastinya menjadi sebahagian daripada cerita kejayaan yang akan dikenang peminat MCR di Malaysia. – THE VOKAL
Foto: Goh _Explore