Norman Hakim pesan Marissa jangan lupa zakat, sedekah ketika perniagaan berkembang
DI sebalik kegembiraan melihat anak perempuan, Marissa Dania berjaya menghadiahkan diri sebuah kereta BMW, pelakon dan usahawan Norman Hakim menitipkan pesanan agar kejayaan yang dikecapi sentiasa disertai tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat.
Norman menerusi perkongsian di Instagram bukan sahaja mengucapkan tahniah kepada Marissa, malah mengingatkan anaknya supaya tidak mengabaikan kewajipan zakat serta terus istiqamah dalam amalan bersedekah.
“Ingat pesan Papa, jangan sesekali abaikan zakat. Terus istiqamah dalam bersedekah dan jadikan platform perniagaan yang dibina sebagai jalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara melalui tanggungjawab cukai dengan amanah.
“Kejarlah reda Allah dan kebahagiaan akhirat, insya-Allah dunia akan menyusul dengan izin-Nya,” tulisnya.
Dalam masa sama, Norman turut menyatakan kebanggaan terhadap usaha keras, disiplin dan keazaman Marissa sehingga mampu menghadiahkan diri sebuah kenderaan mewah hasil kejayaannya.
“Tahniah, anak. Kamu telah bekerja sangat keras dan membuktikan bahawa kebijaksanaan, disiplin serta keazaman mampu membawa kamu jauh.
“Kamu memang layak menghadiahkan diri dengan ‘mainan ketiga’ kamu,” katanya.
Norman turut mengingatkan Marissa agar tidak pernah berhenti berdoa dan berusaha kerana setiap perkara yang dianggap mustahil oleh manusia tetap mudah bagi Allah SWT.
Sebelum ini, Marissa turut berkongsi kegembiraannya di Instagram menerusi foto sebuah BMW putih yang dihiasi reben merah sebagai simbol pencapaian terbaharunya. – THE VOKAL