
Pakai Pelitup Muka Di Kawasan Berisiko – Keadaan COVID-19 Masih Terkawal
Situasi COVID-19 di negara ini masih terkawal dan tiada varian baharu dikesan setakat ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan JN.1.

“Subvarian Omicron yang sedang menular diketahui tidak menyebabkan kes yang lebih teruk.

“Kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Dr Dzulkefly, kadar kemasukan pesakit dalam hospital adalah pada 0.5 peratus dan kadar kematian 0.08 peratus setakat 17 hingga 23 Disember.

Dr Dzulkefly berkata, ini bermaksud kadar untuk kedua-dua parameter tersebut masih kekal pada tahap yang rendah.
“Virus COVID-19 akan terus berada bersama kita, sama seperti virus salur pernafasan yang lain seperti influenza.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan keseimbangan dari segi kesihatan dan kehidupan semasa musim peningkatan kes-kes jangkitan berjangkit,” ujarnya.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan dari semasa ke semasa.

“Kumpulan rentan seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik serta imuniti rendah adalah amat digalakkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak atau menggunakan pegangkutan awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar meneruskan tanggungjawab penjagaan kendiri (pemakaian pelitup muka di situasi yang memerlukan, melakukan TRIIS dan kemaskini status pada MySejahtera), melindungi golongan rentan dan mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berkaitan kes jangkitan saluran pernafasan termasuk COVID-19 di sumber yang boleh dipercayai,” katanya. – THE VOKAL