
“Saya Kenal Siapa Kawan Siapa Lawan” – DJ Lin Akan Jawab Semuanya Jumaat Ini
Segala persoalan yang ditimbulkan akan dijawab satu per satu pada sidang media Jumaat ini.
Demikian reaksi DJ Lin yang dihujani pelbagai tuduhan, kecaman dan dakwaan sebaik kontrak seorang penyampai stesen Suria FM tidak disambung.

“Saya tidak boleh ulas lanjut ketika ini dan mengikut arahan pihak atasan syarikat.
“Terima kasih bertanya khabar, saya akan jawab satu per satu pada sidang media 19 Januari ini,” katanya ketika dihubungi.
Nama DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM menjadi sasaran netizen termasuk dihina dan dilempar dengan kata-kata kesat sebaik Tyzo mengumunkan dia tidak lagi bersama stesen itu.

Tyzo turut menggambarkan dirinya dianiaya menerusi ucapan akhir sebelum melangkah keluar dari konti Jumaat lalu.
DJ Lin juga memilih untuk mengunci mulut dan hanya akan bersuara di platform sepatutnya.
“Tak mengapa, ketika ini saya kenal siapa kawan siapa lawan,” katanya ringkas.
Rabu lepas, Suria FM mengundang media untuk pengumuman Ruang Udara Suria pada 19 Januari ini, termasuk bakal mengumumkan penyampai baru stesen itu. – THE VOKAL