18.335 kilogram ganja dirampas, empat tertuduh terima hukuman penjara seumur hidup
Kegiatan pengedaran dadah sebuah sindiket yang berjaya dibongkar polis tiga tahun lalu berakhir dengan hukuman berat apabila empat individu dijatuhi penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Keputusan pada 9 Oktober lalu itu melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita yang didapati bersalah atas kesalahan mengedar ganja seberat 18.335 kilogram.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejayaan menumpaskan sindiket berkenaan adalah hasil tindakan pantas dan operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 September 2023.
Operasi yang dijalankan di Shah Alam, Selangor itu membawa kepada penahanan empat individu terbabit selain rampasan dadah jenis ganja seberat 18.335 kilogram serta sitaan beberapa buah kenderaan.
Daripada jumlah tersebut, tiga tertuduh lelaki turut dikenakan hukuman 15 sebatan setiap seorang, manakala tertuduh wanita dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa sebatan.
Menurut JSJN, kejayaan membanteras kegiatan pengedaran dadah tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah tangkapan dan rampasan semata-mata.
“Sebaliknya, ia turut dibuktikan melalui keberhasilan proses perundangan sehingga pesalah menerima hukuman setimpal,” menurut kenyataan itu, hari ini.
JSJN turut menegaskan komitmen pihaknya untuk memastikan setiap tindakan penguatkuasaan disusuli proses perundangan yang berkesan sehingga individu terbabit dibawa ke muka pengadilan.
“Sesungguhnya, kejayaan sebenar bukan hanya apabila sindiket berjaya ditumpaskan, tetapi apabila keadilan dapat ditegakkan dan mereka yang terlibat menerima hukuman setimpal,” katanya.
Dalam pada itu, JSJN menegaskan pendirian untuk terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah menerusi slogan, ‘Tegas Membanteras, Tuntas Mendakwa, Memastikan Keadilan’.
Usaha itu selari dengan komitmen jabatan berkenaan menerusi kempen ‘JSJN Perangi Dadah, Lindungi Generasi’. – THE VOKAL