MAMSB pacu pendigitalan, perkukuh daya saing industri perkhidmatan wang
PERKEMBANGAN teknologi kewangan yang semakin pesat mendorong industri perniagaan perkhidmatan wang (MSB) mempercepatkan transformasi digital bagi memastikan operasi lebih cekap, selain kekal relevan dengan perubahan keperluan pengguna.
Daripada urusan pertukaran mata wang hinggalah kiriman wang rentas sempadan, penggunaan teknologi kini menjadi keperluan penting dalam memperkukuh keupayaan pengendali industri menghadapi persaingan serta perubahan landskap kewangan.
Menyedari kepentingan itu, Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) menjadikan pendigitalan sebagai agenda utama menerusi Persidangan Flagship Tahunan 2026 bertemakan ‘Digital Transformation & Sustainable Growth for MSBs’ yang berlangsung di Sasana Kijang, baru-baru ini.

Persidangan berkenaan menghimpunkan pengendali perniagaan perkhidmatan wang, pakar industri dan penyedia teknologi bagi membincangkan perkembangan semasa, cabaran kawal selia serta peluang pertumbuhan menerusi penggunaan teknologi.
Kerjasama pacu kemajuan industri
Presiden MAMSB, Datuk Sri Jajakhan Gani berkata, perkembangan industri MSB memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak bagi memastikan pengendali berskala besar mahupun kecil mempunyai peluang sama untuk berkembang dalam persekitaran digital.
Menurutnya, prinsip ‘By Members, For Members’ menjadi asas kepada usaha persatuan dalam menggalakkan perkongsian pengalaman, pengetahuan dan penyelesaian bagi menangani cabaran bersama.
“Industri MSB terus berkembang dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Malaysia. Ketika kita bergerak ke arah persekitaran yang semakin digital, penting untuk industri ini maju bersama supaya pengendali besar dan kecil mempunyai peluang untuk kekal berdaya saing serta mampan.
“Kekuatan terbesar MAMSB sentiasa terletak pada komitmen dan sokongan berterusan ahli. Kemajuan industri hanya dapat dicapai menerusi usaha kolektif, kerjasama dan tanggungjawab bersama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAMSB, Raman Krishnan berkata, tanggungjawab persatuan bukan sekadar mewakili kepentingan industri, malah memastikan ahlinya sentiasa mengikuti perkembangan kawal selia, teknologi baharu dan perubahan jangkaan pengguna.
Katanya, penglibatan bersama pihak pengawal selia, pembangunan profesional, perkongsian ilmu serta kerjasama dengan penyedia teknologi merupakan antara pendekatan bagi membantu ahli meningkatkan tahap pematuhan, kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan.
Pemain baharu turut mendapat manfaat
Kepentingan platform perkongsian industri turut dirasai pengendali baharu apabila mereka berpeluang mendapatkan pendedahan serta panduan daripada pemain berpengalaman dan badan kawal selia.
Ketua Pegawai Eksekutif Moneywave Sdn Bhd, Aiman Kallahan berkata, penyertaan dalam persidangan itu membuka ruang kepada pihaknya memahami dengan lebih mendalam perkembangan industri, termasuk perubahan peraturan dan kepentingan pendigitalan.
“Sesi ini membantu kami memahami komuniti industri dengan lebih baik. Secara tidak langsung, ia memberikan perspektif berbeza apabila melihat pemain sedia ada yang sudah mempunyai sistem dan pengalaman untuk membantu kami berkembang.
“Moneywave juga berpeluang duduk berbincang serta mendapatkan panduan daripada MAMSB dan badan kawal selia, khususnya mengenai perubahan yang bakal berlaku, kepentingan pendigitalan dan bagaimana memastikan operasi sentiasa mematuhi keperluan undang-undang,” katanya.
Menurut Aiman, perkongsian sedemikian penting bagi syarikat yang sedang membangunkan perniagaan dalam sektor berkenaan kerana mereka bukan sahaja memerlukan teknologi, malah perlu memahami persekitaran operasi dan kawal selia.
Pendigitalan buka ruang operasi lebih efisien
Bagi industri yang selama ini banyak bergantung kepada urusan fizikal, peralihan kepada sistem digital dilihat mampu menjadikan operasi lebih mudah, pantas dan efisien.
Antara penyelesaian teknologi yang diberi perhatian dalam persidangan itu termasuk pendaftaran pelanggan secara digital, pengesahan identiti elektronik (e-KYC), teknologi pembayaran, saringan sekatan serta automasi pematuhan.
Bagaimanapun, proses transformasi berkenaan memerlukan perancangan teliti, terutama bagi pengendali berskala kecil yang mungkin berdepan kekangan kos dan sumber untuk membangunkan sistem teknologi sendiri.
Sehubungan itu, kerjasama antara pemain industri besar dan kecil dilihat mampu mempercepatkan pendigitalan menerusi perkongsian platform serta infrastruktur teknologi sedia ada tanpa perlu menanggung keseluruhan kos pembangunan secara bersendirian.
Transaksi RM105 bilion cerminkan kepentingan MSB
Sumbangan industri MSB terhadap ekonomi negara turut terserlah menerusi nilai transaksi yang direkodkan sepanjang 2025.
Industri berkenaan mencatatkan transaksi kiriman wang sebanyak RM105 bilion, meningkat kira-kira 30 peratus berbanding RM80.6 bilion pada 2024.
Aktiviti pertukaran mata wang pula merekodkan RM67.9 bilion, manakala perniagaan mata wang secara borong mencatatkan nilai transaksi RM34.3 bilion.
Pencapaian itu menggambarkan skala operasi industri MSB yang memainkan peranan penting dalam menyokong transaksi kewangan domestik dan antarabangsa, termasuk keperluan perniagaan, perdagangan serta pekerja migran.
Sehingga Disember 2025, MAMSB mempunyai 252 ahli, selain 364 ahli bersekutu dan 159 ejen hibrid.
Pematuhan kekal keutamaan
Dalam usaha memperkukuh industri, aspek pematuhan peraturan turut diberi perhatian memandangkan penggunaan teknologi perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab pengendali sebagai penyedia perkhidmatan kewangan berlesen.
MAMSB terus berperanan sebagai penghubung antara pengendali industri dengan badan kawal selia, agensi kerajaan serta pihak berkepentingan bagi memastikan ahli memperoleh maklumat terkini mengenai keperluan perundangan, khususnya di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.
Persatuan itu turut melaksanakan program pembangunan kapasiti termasuk Group of Compliance Officers (GOCO) dan Money Services Business Directors Education Programme (MSB-DEP).
Kedua-dua program berkenaan memberi tumpuan kepada pencegahan pengubahan wang haram, usaha mengenali pelanggan, pengurusan risiko, tadbir urus korporat serta tanggungjawab pengarah dalam memastikan operasi perniagaan mematuhi peraturan.
Secara keseluruhannya, transformasi digital bukan sekadar usaha memperkenalkan teknologi baharu, sebaliknya menjadi langkah strategik untuk membina industri perkhidmatan wang yang lebih cekap, mampan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap kewangan masa hadapan.