PU Riz tegur polemik isu solat, jangan sampai perkara asas agama dipersendakan
PENDAKWAH bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz mengingatkan masyarakat supaya tidak memanjangkan polemik berkaitan solat sehingga perkara asas dalam kehidupan seorang Muslim seolah-olah menjadi bahan perdebatan.
Menurutnya, isu solat bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan kerana ia merupakan antara asas penting dalam kehidupan umat Islam dan sewajarnya dihormati semua pihak.
“Kita pelihara agama bersama, jangan biarkan perkara yang ada ini melarat, insya-Allah. Lama-kelamaan, rosaklah kita apabila perkara yang baik semuanya tidak lagi terlihat. Ini soal solat, tak perlu sibuk, tolonglah,” katanya.

PU Riz berkata, umat Islam perlu lebih peka terhadap perkara yang menyentuh asas keimanan dan tidak membiarkan isu sedemikian berkembang sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa perkara berkaitan Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak seharusnya dijadikan bahan permainan kerana ia melibatkan pegangan serta kepercayaan umat Islam.

Dalam masa sama, beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Kafirun, ayat 6, “Lakum dinukum wa liya din” sebagai peringatan supaya batas dan pegangan agama masing-masing dihormati.
“Islam ya‘lu wa la yu‘la ‘alayh (Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya). Ini negeri majoriti Islam, tak perlulah sibuk, cukuplah, cukuplah,” katanya.
Sehubungan itu, PU Riz berharap semua pihak menghentikan polemik yang tidak membawa manfaat dan lebih mengutamakan sikap saling menghormati, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama. – THE VOKAL