
Bercakap Dengan Alam Semesta – Akim Stacy Hasilkan Ritma dan Rima
Pasangan sejoli ini beruntung lebih-lebih lagi masing-masing berkongsi minat dan bakat yang besar dalam muzik.
Biarpun mempunyai fahaman muzik yang berbeza, pasangan selebriti Akim dan Stacy kembali berkolaborasi dengan single berjudul Ritma dan Rima.

Lagu sentuhan Hang Nadim dan Bunga Cantik menceritakan interaksi antara Akim dan Stacy dengan alam semesta yang juga berkongsi rentak sama. Manakala, penyusunan muzik pula oleh Freddy.
Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Syaikhah Stacy Anam, berkata, lagu Ritma Dan Ritma itu cukup istimewa kerana dihasilkan dari hati, selain melalui proses rakaman yang sangat teliti.

“Idea tercetus apabila saya mendapat inspirasi melodi korus lagu ini dan kemudian menggarap ilhan bersama Akim. Manakala, Freddy pula berperanan sebagai ‘arranger, lagu ini.
“Lagu ini bercerita mengenai komunikasi kami dengan alam semesta yang mana liriknya menghubung kait dengan fauna, flora, awan dan semua hidupan yang bergerak mengikut rentak serta irama.

“Kelebihan lagu ini kerana alunan setiap bait melodi mengikut tempo dan ritma alam sekali gus menyuntik elemen segar yang mendorong kita agar lebih menghargai hidupan di sekeliling,” kata Stacy menambah lagu berkenaan diterbitkan syarikat mereka berdua iaitu Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R Entertainment).
Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad pula berkata, dia dan Stacy tidak menjangka penghasilan lagu berkenaan lebih mendalam, sekali gus memberikan nuansa baharu dalam jalur muzik mereka.

Bercerita mengenai muzik video yang menjalani penggambaran di Sik, Kedah sekitar penghujung 2023, Akim bersyukur segala perancangan berjalan lancar biarpun melalui fasa sulit.
“Stacy ternampak lokasi penggambaran muzik video ini di Tik Tok yang mana bertepatan dengan konsep dan lirik lagu ini. Perjalanan ke Sik, Kedah mengambil masa enam jam dan hendak mendaki kawasan itu pula sekitar sejam.
“Malah, pengalaman hendak sampai ke puncak pun bukan mudah namun hasilnya sangat memuaskan hati,” katanya.

Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret mengakui kolaborasi ini membuatkan mereka semakin selesa bekerjasama sebagai pasangan komposer.
“Sejujurnya, keserasian menggandakan keselesaan untuk bekerjasama dengan lebih kerap lagi untuk projek seterusnya apatah lagi kami dapat meluangkan masa bersama,” katanya.
Single berkenaan boleh didengar dan dilanggan di platform digital muzik, manakala lirik video rasmi lagu boleh ditonton di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment sudahpun mendapat hampir 70,000 tontonan sejak dilancarkan 18 Januari lalu. – THE VOKAL