
Dua Beranak Rentung Dalam Pondok – Dipercayai Terperangkap Dalam Kebakaran Awal Pagi
Sebuah pondok kecil di dalam dusun yang tempat mereka berlindung menjadi lokasi maut buat dua beranak dalam kejadian kebakaran pagi ini di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda di Gerik, Perak,
Lebih menyayat hati kedua-dua mangsa wanita ialah warga emas dan orang kelainan upaya buta dipercayai terperangkap dalam tragedi itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata maklumat kejadian itu diterima pada pukul 7.38 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik diatur gerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Pihak polis memaklumkan terdapat kebakaran pondok di dalam dusun dan api telah pun dipadamkan. Berdasarkan maklumat, terdapat dua mangsa yang berada di dalam pondok berkenaan.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah pondok kelas C musnah terbakar dianggarkan sebanyak 95 peratus.

“Terdapat seorang wanita berusia 76 tahun dan anak perempuannya berusia 43 tahun yang merupakan OKU mata telah rentung dalam kebakaran itu,” katanya.
Beliau berkata anggota bomba segera membawa keluar mayat kedua-dua mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat. – THE VOKAL