UMNO Tutup Tabung Solidariti Najib, Kutipan Dana Capai Sasaran
UMNO mengumumkan penutupan akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas kutipan dana menerusi inisiatif berkenaan mencapai sasaran ditetapkan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan media bertarikh 6 November 2026.
Menurut kenyataan itu, UMNO turut mengesahkan semua urusan pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah diselesaikan pada pagi Jumaat.
Dalam kenyataan sama, UMNO memaklumkan akaun khas yang diwujudkan bagi menerima sumbangan orang ramai itu kini ditutup secara rasmi dan tidak lagi memerlukan kutipan dana awam untuk tujuan berkenaan.
Tabung Solidariti Najib Razak dilancarkan pada 18 September lalu bagi mengumpul dana untuk membantu Najib melunaskan denda sebanyak RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.
Inisiatif berkenaan menerima sumbangan secara sukarela daripada ahli UMNO dan orang ramai menerusi kaedah pembiayaan awam atau crowdfunding.
Bagaimanapun, UMNO tidak mendedahkan jumlah keseluruhan kutipan yang berjaya dikumpulkan menerusi tabung berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Asyraf Wajdi pada 4 November lalu memaklumkan kutipan dana masih belum mencukupi untuk mencapai sasaran pembayaran denda tersebut.
Sebelum ini, pembayaran denda RM50 juta menjadi antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Dengan penyelesaian pembayaran itu, perkembangan seterusnya kini tertumpu kepada proses pelaksanaan tahanan di rumah oleh pihak berkuasa berkaitan. – THE VOKAL