![Stadium Merdeka Kembali – Bakal Dibuka Semula Pertengahan 2024](https://www.the-vokal.com/wp-content/uploads/2024/01/11-Feature-1-850x560.png)
Stadium Merdeka Kembali – Bakal Dibuka Semula Pertengahan 2024
Stadium yang banyak merakam memori dan sejarah penting negara termasuk kemerdekaan Malaysia iaitu Stadium Merdeka, bakal dibuka semula tahun ini.
![](https://www.the-vokal.com/wp-content/uploads/2024/01/eaeac83b-839e-499b-954e-2cee0d4604e3.jpeg)
Mercu tanda ikonik bersejarah itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini selepas ia ditutup sejak 2016.
Memetik laporan Bernama, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti pada 1957 mendapat kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.
![](https://www.the-vokal.com/wp-content/uploads/2024/01/IMG_8830.png)
“Usaha restorasi bangunan bersejarah ini diharapkan dapat meningkatkan nilai warisan budaya negara serta mencipta peluang ekonomi dan sosial yang berkekalan, selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke lokasi ikonik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Menjunjung Kasih sempena Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di ibu negara, malam tadi.
PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat PNB telah menubuhkan Merdeka Heritage Trust (MHT) 2006 untuk memulih, memelihara dan mengurus Stadium Merdeka.
![](https://www.the-vokal.com/wp-content/uploads/2024/01/334a5ad5-87c3-496c-8116-2a1d2310a658.jpeg)
Ia termasuk pemindahan teres tempat duduk untuk kapasiti tempat duduk yang lebih besar iaitu 45,000 tempat duduk yang dibina untuk Sukan SEA 1989.
Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun dan menjadi tuan rumah bagi detik paling bersejarah apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, diikuti dengan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963. – THE VOKAL